Menaiki takhta Elizabeth II dari United Kingdom

Pada bulan Februari 1952, semasa Elizabeth dan suaminya sedang berlawat ke Kenya, paduka ayahanda baginda, Baginda Raja George VI mangkat akibat kanser paru-paru. Baginda berangkat pulang ke Britain dengan segera. Istiadat kemahkotaan baginda diadakan pada 2 Jun 1953 di Westminster Abbey. Dengan kemangkatan mendiang paduka ayahanda baginda, dengan serta merta, baginda telah diangkat dengan hukum Inggeris menjadi Ratu dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II dan suami, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Putera Philip

Sebagai Ratu

Selepas menjadi Ratu Britain, Ratu Elizabeth dan suami baginda telah berpindah ke Istana Buckingham. Namun, baginda dikatakan lebih menyukai Istana Windsor sebagai kediaman. Ratu Elizabeth banyak mengadakan lawatan ke seluruh pelosok dunia. Baginda merupakan ratu pertama melawati Australia, New Zealand dan Fiji. Pada tahun 1957, baginda telah bertitah dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebelum ke Kanada. Pada tahun 1961, Ratu Elizabeth melawati Turki, India, Iran, Pakistan dan Nepal. Pada 1991, baginda juga berucap dalam sesi Kongres Amerika Syarikat dan pada 2007, baginda bertitah dalam Perhimpunan Agung Virginia. Ratu Elizabeth sering mencemar duli di Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) sebagai Ketua Komanwel.

Hubungan kerabat

Ratu Elizabeth dan suaminya Putera Philip, Duke Edinburgh telah meraikan ulang tahun perkahwinan permata mereka pada bulan November 2007. Baginda juga mempunyai hubungan yang erat dengan anakanda baginda, serta cucunda baginda, terutamanya, Putera William, Puteri Beatrice dan Zara Phillips.

Kelanjutan usia

Tempoh pemerintahan Ratu Elizabeth merupakan paling lama di dunia setelah kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej dari Thailand pada tahun 2016.